Assalamualaikum...
Sekadar ingin berkongsi cerita untuk mentarbiah  diri...semoga kita mendapat pengajaran  daripadanya....
--------------------------------------------------
Hari-hari  berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui  ialah ianya baru beberapa minggu lalu.
Iya, hanya beberapa minggu lalu.  Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang  dada.
Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi  begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk  menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan  aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan  tabah.
Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa,  tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku  juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah  ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan  sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga  pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak  bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti bondanya Syeikh  Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam  berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring  ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam.
Aku hanya  seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga  sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian,  Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari  istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin  benar aku sudah dikhitbah (bertunang) apabila melihat kedua tangan ku memakai  cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula  menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi  diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku  tetap setia dalam penantian.
Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya  aku jawab dengan penuh tatasusila.
"Hari menikah nanti nak pakai baju  warna apa?"
Aku menjawab tenang..
"Warna putih,  bersih..."
"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh  terdekat."
"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan  berlebihan."
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku  menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh  sanubari aku sebagai hamba Allah.
”Malam Pertama...” Sukar sekali aku  ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah  aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar  menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh  ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu,  aku semakin banyak mengulang al-Quran.
Aku mahu sebelum tibanya hari yang  aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan  tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam  tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia  menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu  pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang  mendahului.
"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya.  Kacak tak?"
Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah.  Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat  penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan  keluarga.
"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak  dengan Allah. Itu yang paling utama."
Berita itu juga membuatkan  beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang  perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.
"Jangan lupa jemput ana di hari  menikahnya, jangan lupa!"
Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa  yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku  sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku  dengan Allah.
Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu  terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku  mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam  setiap derap nafas ku menanti hari itu.
"Bila enti  menikah?"
Aku tiada jawapan khusus.
"Insya Allah, tiba waktunya  nanti enti akan tahu..."
Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan  aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila  tarikhnya.
"Jemput ana tau!"
Khalilah tersenyum  megah.
"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan  ana banyak-banyak! "Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu  melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan  terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
"Insya Allah,  kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."
Rahsia ku  adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan  tarikhnya.
Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung  aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang  lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali  lagi kepada ibu...
"Usah berlebihan ya..."
Ibu angguk perlahan dan  terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Insyirah, jom  makan!"
Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan  senyuman.
"Tafaddal, ana puasa."
Sahabiah juga semakin galak  mengusik.
"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat...  Tarikhnya tak tetap lagi ke?"
"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf,  tarikhnya belum ditetapkan lagi."
Sehingga  kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah  menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia  untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam  berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.
............  ......... ......... .........
"innalillahi  wainna ilaihi rajiun..."
"Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar.  "
"Ya Allah, tenangnya... "
"Moga Allah memberkatinya.  ..."
Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan  aku pada ibu.
Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam  penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak  menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan  aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan  dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari  sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.
Dalam sedar tidak  sedar...
Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan  ku...
Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam  sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi.
Sayup-sayup  hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.
"Ya  Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan  dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku  tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau  satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya  apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang  tidak aku ketahui..."
Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu  beberapa minggu kemudian...
"Insyirah bertunang dengan siapa, mak  cik?"
Ibu tenang menjawab...
"Dengan kematian wahai anakku. Kanser  tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada  tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu  sahaja sebelum kansernya membunuh."
"Allahuakbar. .."
Terduduk  Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
"Buku yang sering  dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu angguk, tersenyum  lembut...
"Ini nak, bukunya."
Senaskah buku bertukar tangan,  karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam  Kubur'.
"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu  mak cik."
"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu  berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..  ."
Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap  kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.
"Satu cincin ini  aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai  sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti  tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang  menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman  dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil  'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim,  seteguh dan setabah hati seorang ibu.
p/s : untungnya insyirah.. diberi  peluang untuk berkhitbah dan sempat menyediakan kain putihnya... kita???... moga  Allah memberikan yang terbaik untuk kita...ameen~~